KUALA LUMPUR, 15 Julai  — Sistem Pengurusan Pengetahuan (KMS) yang dikenali sebagai sistem e-Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen (e-PRS) telah dibangunkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP) Parlimen Malaysia untuk kemudahan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut Setiausaha Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Norlizawaty Abdu Samad berkata sistem e-PRS menyediakan perkhidmatan permohonan untuk penyelidikan, permohonan statistik dan data terkini, permohonan analisis berkaitan isu-isu semasa dan lain-lain maklumat yang boleh membantu Ahli Parlimen ketika perbahasan dewan.

“Sebelum ini, bagi perkhidmatan permohonan Ahli Parlimen, permohonan dibuat melalui e-mel atau borang manual…dengan sistem baharu, borang dalam talian digunakan untuk memohon maklumat atau data dan ia akan dipenuhi dalam masa tiga hari, mengikut jenis input yang diperlukan,” katanya ketika prapelancaran sistem itu di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. Menurut beliau, bagi memulakan proses pengaktifan sistem e-PRS Ahli Parlimen perlu mengimbas Kod QR yang disediakan.

Prapelancaran sistem e-Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen (e-PRS) telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga menjadi Ahli Parlimen (Kota Bahru) dan turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamis Samin.

e-PRS merupakan perantara utama penyampaian maklumat kepada Ahli Parlimen bagi membantu tugasan mereka dengan lebih efisien. Sistem ini juga dilengkapi dengan laman sesawang mikro yang memperkenalkan fungsi dan aktiviti Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan serta digunakan sebagai repositori hasil penyelidikan.

Scroll Up