Kuala Lumpur, 25 Ogos – Parlimen merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin di atas kesudian YAB Perdana Menteri untuk merasmikan Perpustakaan Parlimen yang baharu pada Selasa, 25 Ogos 2020 dan melancarkan pameran “Parlimen: Citra Perundangan Malaysia” yang akan berlangsung dari 25 Ogos hingga18 September 2020.

YAB Perdana Menteri telah melakukan tinjauan mesra ke atas fasiliti-fasiliti di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran yang disediakan untuk kemudahan ahli-ahli Parlimen, warga Parlimen serta pegawai-pegawai kementerian yang menjalankan tugasan rasmi di Parlimen.

Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran mula dibina pada bulan September 2015 dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 2020 dengan kos keseluruhan berjumlah RM176.97 juta.

 

Antara kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan di blok ini termasuklah perpustakaan, surau, mini auditorium, gimnasium dan sauna. Terdapat juga 57 unit bilik Ahli Parlimen, 33 unit bilik kementerian dan 7 unit bilik Jawatankuasa Pilihan Khas. Kesemua bilik kementerian dan bilik Ahli Parlimen dilengkapi sistem siarraya dengan tiga saluran iaitu untuk Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Tuner & Override, selain dilengkapi kemudahan WIFI dan 18 saluran televisyen dan 6 saluran radio.

Perpustakaan Parlimen Malaysia adalah suatu pusat sumber rujukan penting dalam urusan perundangan, parlimen, pentadbiran kerajaan dan pentadbiran awam bagi menyokong keperluan penyelidikan Ahli-ahli Parlimen dan warga Parlimen ke arah pembelajaran sepanjang hayat. Sebelum ini, Perpustakaan Parlimen ditempatkan di Blok Utama, kompleks Parlimen dan kini ia dipindahkan ke Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan kemudahan-kemudahan yang lebih selesa seperti Bilik Bacaan dan Bilik Karel Ahli Parlimen.

Perpustakaan Parlimen mempunyai lebih 43,114 jumlah koleksi yang antara lain merangkumi dokumen-dokumen asal seperti Perundangan Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penyata Rasmi Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Aturan Urusan Mesyuarat, Rang Undang-Undang, Akta-akta, Kertas Statut, Kertas Perintah, Laporan Jawatankuasa-Jawatankuasa, Enakmen, Ordinan dan Warta Kerajaan. Selain itu, Perpustakaan Parlimen juga mempunyai koleksi monograf, koleksi jurnal dan koleksi keratan akhbar.

YAB Perdana Menteri juga diberi penjelasan berkenaan Sistem Pengurusan Pengetahuan (KMS) yang dikenali sebagai sistem e-Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen (e-PRS). Ia telah dibangunkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP) Parlimen Malaysia untuk kemudahan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Seterusnya, YAB Perdana Menteri dibawa melihat Pameran bertemakan PARLIMEN: CITRA PERUNDANGAN MALAYSIA merupakan ilustrasi bergambar mengenai Parlimen Malaysia bagi memperkenalkan kepentingan dan kedaulatan Institusi Perundangan ini kepada ahli-ahli Parlimen dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Pameran ini diadakan sempena program perasmian Perpustakaan Parlimen Malaysia oleh YAB Perdana Menteri.

Pameran ini diolah kepada enam (6) segmen utama iaitu Menelusuri Sejarah, Citra Perundangan, Koleksi Tinta Emas, Diplomasi dan Hubungan Luar Negara, Tuan Yang di-Pertua dan Ketua Majlis serta Menteri Parlimen. Tiga objektif pameran ini adalah untuk (i) mempromosi peranan dan keistimewaan Parlimen dalam pentadbiran Malaysia, (ii) memberi pendedahan mengenai struktur pentadbiran dan keanggotaan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dan (iii) meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan Ahli-ahli Parlimen dan masyarakat mengenai kepentingan Parlimen dalam pentadbiran Malaysia.

Sesungguhnya perasmian Perpustakaan Parlimen Malaysia adalah suatu lembaran yang bersejarah bagi Parlimen dan merupakan sebahagian dari usaha-usaha berterusan untuk menaiktaraf dan menambahbaik kemudahan-kemudahan untuk ahli-ahli Parlimen dan warga Parlimen.

 

Parlimen Malaysia

25 Ogos 2020

6 Muharram 1442H

Scroll Up