Parlimen Malaysia menganjurkan Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir yang bertemakan “Citra Tinta Warisan Parlimen“ bermula November 2021 sehingga Januari 2022. Pada masa yang sama, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia yang bertemakan “Bahasa Dijunjung Budi Disanjung” turut diadakan dari 18 November sehingga 17 Disember 2021. Majlis perasmian bagi kedua-dua program ini diadakan di ruang legar Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia. Ucaptama dan perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara.

Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir Parlimen Malaysia diadakan bertujuan mengetengahkan koleksi terpilih manuskrip dan nadir Parlimen Malaysia yang merangkumi empat kategori utama, iaitu Prosiding, Undang-undang, Pembangunan Negara dan Diplomasi Parlimen. Pemilihan koleksi ini adalah seiring dengan tema “Citra Tinta Warisan Parlimen” yang secara keseluruhannya menggambarkan fungsi dan peranan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi perundangan terulung di negara ini. Terdapat lebih 50 bahan manuskrip dan nadir terpilih yang dipamerkan.

Selain itu, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Parlimen Malaysia diadakan bertujuan mempamerkan jati diri dan citra Ahli-ahli Parlimen serta warga Parlimen Malaysia terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Bagi mengimarahkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan mengambil inisiatif untuk menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Janji Temu Bersama Ras di Bernama TV, Kuiz Cakna Bahasa, Pertandingan Berbalas Pantun, Pertandingan Menulis Jawi, Pertandingan Bercerita Kanak-kanak, Pertandingan Mendeklamasi Sajak dan Wakaf Buku @Parlimen.

Scroll Up