Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan dengan kerjasamasa Unit Latihan Parlimen Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan sesi Taklimat Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) kepada warga Parlimen bertempat di Bilik Taklimat, Blok Utama, Parlimen Malaysia. Taklimat yang berlangsung selama dua hari bermula dengan sesi hari pertama tertumpu kepada “Intipati Kandungan RMKe-12”. Manakala, sesi hari kedua adalah taklimat mengenai “Perancangan dan Penyediaan Program dan Projek Pembangunan dalam RMKe-12”.
Taklimat sesi pertama telah disampaikan oleh wakil dari EPU iaitu YBrs Puan Noraini Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Ekonomi Makro dan sesi kedua pula oleh YBrs Encik Ahmad Fareedzal bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah Bahagian Bajet Pembangunan (BPP).
Objektif penganjuran taklimat RMKe-12 ini adalah untuk menerangkan fokus utama RMKe-12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 5 tahun akan datang, menerangkan isu dan cabaran serta strategi yang dikenal pasti dalam RMKe-12 serta memberikan kesedaran dan pemahaman yang lebih jelas kepada warga Parlimen berhubung dasar, program dan inisiatif kerajaan.
Program ini telah dihadiri oleh kira-kira 50 warga Parlimen pada setiap sesi. Perbincangan pada sesi yang pertama lebih terarah kepada sejarah, pengenalan serta keseluruhan RMKe-12 dari pandangan mikro. Manakala sesi kedua memberikan butiran yang lebih terperinci tentang perancangan, penyediaan dan pembangunan projek-projek dalam RMKe-12.