09 JUN 2022, Khamis- Perpustakaan Parlimen Malaysia telah menganjurkan program lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. PBAKL merupakan acara tahunan dalam kalendar global penerbitan setiap tahun. Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama enam persatuan industri buku Malaysia dengan penyertaan 170 pempamer tempatan, 20 pempamer antarabangsa dan 530 Reruai di PBAKL.
Program lawatan ke PBAKL yang dianjurkan oleh Perpustakaan Parlimen Malaysia dan disertai oleh 20 orang kakitangan Parlimen bertujuan untuk mencetus minat membaca dalam kalangan warga Parlimen serta membantu warga yang berkeinginan untuk berkunjung ke PBAKL. Program ini juga memberi peluang warga Parlimen mengenal pasti dan memperoleh koleksi buku dan bahan bacaan terbaharu di pasaran dengan harga promosi dan lebih murah dari harga pasaran.