23 OGOS 2022 – Parlimen Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) telah menganjurkan Persidangan Simposium Parlimen Malaysia 2022 bertemakan “Transformasi Parlimen Perkasa Legislatif” yang diadakan buat julung kalinya di Parlimen Malaysia secara fizikal yang menarik minat lebih 300 peserta yang terdiri dari Ahli Politik, akademia, NGO, pelajar dan pegawai kerajaan serta mendapat lebih dari 5000 tontonan melalui saluran rasmi youtube Parlimen Malaysia.

 

Program ini telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang turut sudi menjadi salah seorang ahli panel dalam forum pertama. Antara petikan ucapan dari YB Tan Sri:-

“Simposium dengan tajuk-tajuk perbincangan terpilih yang dianjurkan oleh Parlimen merupakan satu wadah di luar kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mendekatkan masyarakat dan rakyat negara ini dalam membincangkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat. Ini adalah antara kaedah untuk merakyatkan institusi Parlimen secara berterusan dan menyeluruh”

 

 

Terdapat tiga topik perbincangan iaitu forum pertama “Transformasi Parlimen: Memperkukuhkan Kebebasan Parlimen”, forum kedua “Antara Keistimewaan Eksekutif dan Keistimewaan Parlimen: Cabaran Terhadap Semak dan Imbang Parlimen” dan forum ketiga bertajuk “Marijuana untuk Perubatan: Adakah Malaysia Bersedia?”. Ahli panel jemputan merupakan Ahli Parlimen dan figura penting yang sering membincangkan isu-isu yang bakal dibincangkan. Antara jemputan termasuk YABhg Tun Md Raus Sharif, bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Md Abdullah, Timbalan Presiden PARFUM serta YB Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Timbalan Speaker DUN Melaka.

 

 

Program ini juga telah akan dipancarkan secara langsung melalui laman YouTube Rasmi Parlimen Malaysia di pautan https://bit.ly/SimposiumParlimen2022.

Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan
Parlimen Malaysia
25 Ogos 2022.

Scroll Up