26 – 27 Mac 2024 – ‘Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama dua hari di Wisma DBP, Kuala Lumpur bertujuan untuk menyokong usaha DBP dalam memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selaras dengan peranan DBP sebagai badan penerbitan utama negara dalam mendidik masyarakat melalui penerbitan buku yang berkualiti. Seminar ini telah dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat termasuklah beberapa orang Sasterawan Negara seperti YBhg. Datuk (Dr.) A. Samad Said, YBrs. Prof Dr. Siti Zainon Ismail dan YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan. Ucapan pembukaan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr Mohd Anuar Hj Rethwan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negara tahun 2009. Perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai isu-isu penulisan seperti mesej yang bertentangan dengan konteks sosiobudaya tempatan mengambil contoh buku ‘Salina’ tulisan sasterawan A. Samad Said.

Majlis perasmian dirancakkan lagi dengan pelancaran buku-buku terbitan DBP yang berjudul ‘Hikayat Hang Tuah (Manuskrip Terawal Tahun 1758)’ yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dan juga siri ‘Tafsir Maudhu’iy’ yang mengandungi 10 judul buku hasil nukilan penulis-penulis dalam bidang ekonomi, politik, aqidah, dan lain-lain.

Pengisian bagi program Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu 2024 ini terdiri daripada kupasan pelbagai isu bahasa yang dibahagi kepada empat siding pleno. Sidang Pleno 1 dengan tema ‘Hala Tuju Industri Buku Negara’ membincangkan dan memberi pandangan yang kritis dalam memperkasakan industri buku di negara ini. Setiap panel membentangkan kertas kerja mereka berserta cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk menjamin kemampanan industri buku negara. Seterusnya, Sidang Pleno 2 pula bertemakan ‘Hak Cipta dan Karya’ yang membincangkan mengenai isu-isu hak cipta di dalam bidang penerbitan terutamanya melalui peruntukan Akta Hak Cipta 1987. Isu-isu ini telah dikupas oleh empat (4) orang ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan dan dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP).

Sidang Pleno 3 pada hari kedua membawakan tema ‘Kandungan Dalam Penerbitan’ yang diteruskan selepas Majlis Pelancaran Buku Kanak-Kanak dan Remaja yang telah disempurnakan oleh YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia pada sebelah paginya. Secara umumnya, Sidang Pleno 3 ini bertujuan untuk mengupas mengenai isu yang berkaitan dengan kandungan digital dalam buku ilmiah, pembangunan kandungan buku kanak-kanak dan remaja ke peringkat antarabangsa, pembangunan karya-karya terjemahan dalam industri buku negara, serta turut menyentuh usaha mengangkat inisiatif penerbitan sebagai salah satu industri yang potensi di masa hadapan. Isu-isu tersebut telah dikupas oleh empat (4) orang ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan serta dipengerusikan oleh YBrs.Dr. Faezah Muhayat, Editor Kanan di Bahagian Buku Umum, DBP.

Sidang Pleno 4 pula merupakan sidang akhir yang membincangkan tentang perihal pencetakan, pengedaran dan pemasaran buku-buku berbahasa Melayu yang dilihat berkembang secara positif pada ketika ini. Melalui perbincangan sidang ini, difahamkan bahawa pihak bank menyokong industri penerbitan tempatan dari segi pemberian pinjaman kewangan bagi kelangsungan proses pencetakan dan pengedaran buku-buku bercetak seterusnya mengurangkan kebergantungan para penerbit kepada dana Kerajaan semata-mata. Namun begitu, turut dikupas mengenai keperluan untuk memperbanyakkan lagi penerbitan buku kanak-kanak yang berkualiti selaras dengan keperluan pasaran yang agak terhad berikutan kos penerbitan dan pencetakan buku kakak-kanak yang agak tinggi berbanding dengan buku-buku umum yang lain. Sesi terakhir seminar ini berlangsung dengan sidang forum oleh pemain industri yang telah membincangkan usaha untuk memajukan penerbitan buku berbahasa Melayu dengan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan ilmiah, melalui pengalaman penerbitan swasta dalam konteks buku teks.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu ini diakhiri dengan penangguhan majlis seminar oleh YB.rs Dr.Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP bagi memberi laluan kepada cuti umum Nuzul Al-Quran pada 28 Mac 2024 dan bersambung pada 29 Mac 2024 yang memfokuskan kepada perbincangan meja bulat tertutup dengan syarikat-syarikat penerbitan dan pemain-pemain industri yang lain.

Seramai 6 orang pegawai daripada Bahagian Antarabangsa dan Penyelidikan, Parlimen Malaysia telah menghadiri seminar ini. Penyertaan tersebut memberi peluang kepada Parlimen Malaysia menyelami isu semasa berkaitan dengan perkembangan bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, pendedahan melalui kupasan isu-isu semasa menjelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemegang taruh dalam penerbitan buku berbahasa Melayu pada masa kini. Parlimen Malaysia turut menggunakan platform penerbitan buku dan majalah ilmiah sebagai salah satu usaha dalam merakyatkan Parlimen. Justeru, seminar seumpama ini menjadi wadah kepada pencambahan idea-idea kreatif dan inovatif dalam memperbanyakkan lagi penerbitan buku yang berkualiti oleh Parlimen Malaysia.

 

 

Scroll Up