8 Februari 2024 – Selaras dengan hasrat murni Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Tan Sri (Dr.) Johari Abdul yang menitik beratkan pembangunan negara bertamadun tinggi untuk melahirkan bangsa yang lebih progresif dan produktif, Satu sesi pembangunan modul Pembangunan Negara Bangsa Melalui Demokrasi Berparlimen telah diadakan oleh Bahagian Penyelidikan. Sesi perbincangan ini yang diadakan selama satu hari dan disertai oleh semua pegawai penyelidik memfokuskan kepada elemen penting mengenai Parlimen yang perlu dimasukkan bagi tujuan pembangunan modul ini, seperti fungsi, peranan dan kepentingan institusi Parlimen kepada masyarakat dan juga negara.
Peserta program dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan mengikut tiga (3) tajuk utama iaitu Pengenalan Parlimen, Fungsi dan Peranan Parlimen dan Melangkah ke Hadapan. Sepanjang sesi perbincangan berlangsung, para peserta telah menyediakan satu draf dapatan akhir bagi tujuan pembentangan di akhir sesi perbincangan.
Setiap kumpulan diminta untuk membentangkan hasil perbincangan mengikut tajuk yang diberikan. Dapat disimpulkan bahawa sesi pembangunan modul ini telah berjalan dengan lancar dengan penglibatan secara aktif setiap peserta yang hadir melalui perkongsian idea dan perbincangan yang produktif.
Sesi perbincangan ini telah berjaya menghasilkan satu dapatan akhir pembangunan modul Pembangunan Negara Bangsa Melalui Demokrasi Berparlimen. Selain itu, perbincangan ini juga berjaya mewujudkan satu semangat kerjasama antara pegawai yang lebih erat.