5 – 6 Februari, 2024 – Women Parliamentarians of ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (WAIPA) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan WAIPA Events 2024 di Vieantiane, Lao People’s Democratic Republic. Selaku tuan rumah, Lao PDR telah mendapat sokongan daripada Kerajaan Kanada melalui Canada Fund for Local Initiatives (CFLI), United Nations, Republik Korea dan United Kingdom dalam penganjuran forum ini. Bertemakan “Fostering Gender-Responsive Parliaments for a Resilient, Connected, and Inclusive ASEAN Community”, program ini menjadi landasan utama bagi Ahli Parlimen wanita dan pemegang taruh untuk bersama-sama mencapai kata sepakat dalam usaha memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang politik.

Pada 5 Februari 2024, Women Political Leaders Forum telah diadakan bertujuan membincangkan strategi dan kerjasama yang perlu dibentuk oleh setiap negara ASEAN untuk mempertingkat penyertaan wanita dalam bidang politik dan kepimpinan. Sesi I: Strengthening women’s political participation and leadership in promoting resilience and sustaining peace, menyaksikan perkongsian idea yang dinamik oleh setiap ahli panel, iaitu H.E Sounthone Xayyachack, Timbalan Presiden, National Assembly of Lao PDR dan H.E. Ar. Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA serta tayangan video ucapan oleh Hon. Gloria Macapagal-Aroyo, House of Representatives of the Phlippines merangkap bekas Presiden Filipina. Atas semangat rumpun ASEAN, ketiga-tiga ahli panel ini berkongsi harapan yang sama, untuk melihat lebih ramai wanita menduduki kerusi parlimen bagi mewakili suara rakyat.

Sesi II: Fostering connections and inter-generational collaboration of female leaders, dimulakan dengan perkongsian video ucapan oleh Hon. Irene Yusiana Roba Putri, Ahli Parlimen bagi House of Representatives of the Republic of Indonesia, diikuti dengan pembentangan oleh tiga orang ahli panel iaitu, H.E.Vicky Singmin, Duta Kanada ke ASEAN, Hon. Phd. Chansola Phonethip, Member of National Assembly of Lao PDR, dan juga rakaman video ucapan oleh Hon. Senator Suwannee Sirivejchapun, Dewan Senat Thailand. Sesi ini menyaksikan perkongsian idea dan pertukaran pengetahuan yang baik antara ahli panel, terutamanya dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh pemimpin politik wanita.

Forum ini diakhiri dengan Sesi III: Promoting women’s economic empowerment and recognition, dimana ucaptama telah disampaikan oleh Hon. Phonevanh, Vice-Minister of Ministry of Planning and Investment, sementara Ryce Chanchai, Regional Programme Lead of ASEAN Governance, Peace and Security, United Nations Women bertindak sebagai moderator. Seramai tiga orang Ahli Parlimen telah diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran, iaitu Hon. Kheng Samvada, Member of National Assembly of Cambodia, Hon. Dr. Valy Vethsaphong, Member of National Assembly of Lao PDR dan Hon. Dinh Thi Phuong Lan, Member of National Assembly of Viet Nam. Sesi ini mengetengahkan isu berkaitan pemerkasaan ekonomi wanita melalui sektor perkhidmatan penjagaan yang dijangka dapat membantu melonjakkan penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi negara. Sesi ini turut memancarkan rakaman video ucapan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Pengerusi, ASEAN Committee on Women. Dalam ucapannya, Dr. Maziah memberi penekanan terhadap kepentingan untuk memperkasa kedudukan ekonomi wanita, agar kesamarataan dalam bidang politik seperti yang digariskan oleh Matlamat Pembangunan Mampan 2030 dapat direalisasikan.

Ucapan penutup bagi Women Political Forum telah disampaikan oleh Bakhodir Burkhanov, United Nations Resident Coordinator dan Hon Thoummaly Vongpkachanh, Pengerusi, Social and Cultural Affairs Committee dan WAIPA.

Pada 6 Februari 2024, WAIPA Workshop 2.0 telah diadakan sebagai kesinambungan bagi bengkel yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 10 – 11 Oktober 2023. Bengkel ini dimulakan dengan ucaptama oleh Ryce Chanchai, ASEAN Governance, Peace and Security, Regional Programme Lead, United Nations Women Indonesia. Beliau menekankan kepentingan untuk melonjakkan momentum dan keterlibatan wanita dalam bidang politik. Bengkel ini diteruskan dengan pembentangan oleh Charmaine Rodrigues, AIPA/United Nations Women Specialist on Plan of Action on Promoting Women’s Political Participation (WPPL). Bengkel ini diadakan bertujuan memuktamadkan draf WPPL Plan of Action (PoA) yang dirangka dalam Workshop 1.0 di Jakarta, Indonesia. Antara lain turut ditekankan kepentingan untuk mempunyai polisi dan perundangan yang menyokong keseimbangan kehidupan antara kerjaya dan keluarga. Hal ini adalah kerana ramai wanita terikat dengan beban berganda apabila terpaksa bekerja dan pada masa yang sama turut memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga serta menjaga kebajikan seluruh isi rumah termasuk ibu bapa yang sudah berusia. Peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberi masa selama satu jam untuk meneliti dan membincangkan kerangka WPPL Plan of Action secara lebih terperinci. Beberapa penambahbaikan telah dikemukakan oleh peserta dalam sesi perbincangan ini, antaranya ialah berkaitan terma “Gender Responsive Budgeting (GRB)” dan “Women Veterans”.

Sebagai penutup, 3rd WAIPA Coordinating Committee Meeting telah diadakan pada jam 2:00 petang dengan tema “Fostering Gender-Responsive Parliaments for a Resilient, Connected and Inclusive ASEAN Community”. Mesyuarat ini disertai oleh 16 Ahli Parlimen daripada lima buah negara ahli, iaitu Brunei Darussalam, Cambodia, Lao PDR, Malaysia dan Viet Nam. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh H.E. Ar. Siti Rozaimeryanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA, manakala ucaptama pula disampaikan oleh Hon. Dr. Sounthone Xayyachack, Vice President, National Assembley of Lao PDR. WAIPA Coordinating Committee Meeting merupakan sebuah platform bagi Ahli Parlimen untuk saling bertukar pendapat dan amalan terbaik dalam memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang politik. Terutamanya dalam aspek penggubalan undang-undang dan pembentukan mekanisme yang dapat mempromosikan pelaksanaan parlimen responsif gender.

Setiap peserta telah diminta untuk memperkenalkan ahli delegasi dan membentangkan amalan terbaik negara mereka dalam membentuk persekitaran parlimen yang responsif gender, sekali gus memperkasa representasi wanita dalam bidang politik. Malaysia telah diwakili oleh YB Syerleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Bukit Bendera. Dalam ucapan beliau, YB Syerleena menekankan kepentingan melibatkan wanita dari pelbagai latar belakang dalam proses membuat keputusan. Selain itu, beliau juga menggesa agar perspektif gender diterangkumkan sebagai elemen utama dalam membentuk persekitaran parlimen yang lebih kondusif dan inklusif. Pembentangan beliau diakhiri dengan gesaan kepada ahli AIPA supaya lebih bersatu padu dalam mencorak masa hadapan di mana suara rakyat, tanpa mengira gender dan latar belakang, dihargai dan didengari di seluruh pelosok negara ASEAN. Mesyuarat ini diakhiri dengan penggulungan oleh H.E. Ar. Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA dan ucapan penutup oleh Hon. Thoummaly Vongphachanh, Pengerusi WAIPA.

 

 

Scroll Up