6 Disember 2024 – Seminar bertajuk ‘Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024’, telah diadakan pada hari Jumaat, 6 Disember 2024 di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia. Seminar ini dianjurkan oleh Parlimen Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah hadir sebagai tetamu kehormat dalam seminar ini. Seramai 300 orang peserta merangkumi pegawai kerajaan, pensyarah universiti, kumpulan penternak, pemain industri, pesara dan pelajar institusi pengajian tinggi telah hadir ke seminar ini.
Sidang Media telah diadakan dan seminar ini juga disiarkan secara langsung melalui media sosial untuk memperluas jangkauan. Terdapat 4 sesi pembentangan seperti yang berikut:
-
Perkembangan Industri Penternakan Lembu Hibrid di Kelantan oleh YB Dato’ Ustaz Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dewan Undangan Negeri Kelantan;
-
Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging di Malaysia oleh YBrs. Dr. Saifullizam bin Abd. Kadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar;
-
Senario Semasa dan Hala Tuju Industri Penternakan Lembu Hibrid di Malaysia oleh YBrs. Ts. Dr. Mazrul Fahmi Hj. Mahadzir, Pengarah Milina Legacy Sdn Bhd; dan
-
Isu-isu dan Cabaran Penternakan Lembu Hibrid oleh Tuan Muhammad Zakirin bin Zakaria, Timbalan Pengerusi Koperasi Ternakan Lembu Sado Utara Berhad.
Majlis Penutup pula telah disempurnakan oleh YB Tuan Cha Kee Chin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian yang telah menekankan mengenai keperluan untuk meningkatkan industri lembu hibrid pedaging ini untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) daging dalam negara dan seterusnya mengurangkan jumlah import daging dari negara luar.
Kesimpulannya, seminar ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai pihak untuk menyumbang idea menerusi platform pembentangan dan perbincangan yang telah diadakan. Dengan ini diharapkan supaya kerjasama antara agensi kerajaan, syarikat GLC, syarikat swasta, kumpulan penternak dan pemain industri dapat dipertingkatkan bagi menyokong industri lembu hibrid pedaging di Malaysia.