4 Julai 2023 – Satu sesi Dialog Perundangan Iklim UK (United Kingdom) anjuran bersama pejabat Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen dan Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur (British High Commission Kuala Lumpur) telah diadakan di Bilik Mesyuarat 1, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia. Sesi ini telah dihadiri oleh para wakil ahli Parlimen dan juga pegawai dari Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP).

Sesi dialog tersebut diadakan untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan perundangan dan tadbir urus perubahan iklim di UK selain membina kapasiti dan pemahaman pegawai Parlimen Malaysia berkaitan pelaksanaan Akta Perubahan Iklim 2008, perundangan ekonomi terhadap inisiatif perubahan iklim, dan kerja serta fungsi Jawatankuasa Perubahan Iklim kepada Parlimen UK.

Pembentangan telah disampaikan oleh Puan Emma Owens, Ketua Penglibatan Antarabangsa, Jabatan Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih UK (International Engagement Lead, Department for Energy Security and Net Zero, UK) dan Puan Rose Armitage, Penganalisis Kanan dari Tindakan Iklim Antarabangsa dan Penerbangan, Jawatankuasa Perubahan Iklim UK (Senior Analyst – International Climate Action and Aviation, UK Climate Change Committee).

Input pembentangan meliputi penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim UK sebagai badan penasihat bebas yang ditubuhkan oleh Akta Perubahan Iklim, peranan Jabatan Keselamatan Tenaga UK dan Sifar Bersih sebagai Jabatan Kerajaan yang menerajui pelaksanaan agenda iklim UK serta fungsi Jawatankuasa Perubahan Iklim UK sebagai badan penasihat bebas untuk memantau kemajuan, menasihati Kerajaan UK dan melaporkan prestasi pelaksanaan kepada Parlimen UK pada setiap tahun bagi memenuhi matlamat iklim UK.

Selain itu, para pembentang juga berkongsi pengalaman mengenai usaha awal memperkenalkan akta yang melibatkan beberapa konsensus politik seperti kegawatan politik yang merangkumi krisis kewangan, penjimatan, referendum Brexit serta penambahbaikan yang dikenal pasti setelah akta tersebut dilaksanakan.
Sesi dialog ini diakhiri dengan soal jawab terbuka dan perbincangan mengenai isu-isu relevan untuk dipertimbangkan oleh Malaysia dalam membangunkan perundangan iklim.

Scroll Up