Parlimen Malaysia buat julung kalinya telah mengadakan kerjasama bersama Bernama TV bagi rakaman siri bual bicara Janji Temu Bersama Ras di bangunan Ahli Parlimen. Rakaman ini diadakan bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia 2021 yang bertemakan “Bahasa Dijunjung, Budi Disanjung” dan telah dihoskan oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Tujuan utama rakaman ini diadakan adalah bagi membincangkan isu-isu berkaitan pemerkasaan bahasa kebangsaan bersama Ahli Parlimen dan panel jemputan menerusi 3 siri rakaman iaitu:

 

Bahasa Dijunjung , Budi Disanjung Siri 1:
Memupuk Rasa Cinta Bahasa Kebangsaan
Panel : YB Dr. Maszlee Malik, (Ahli Parlimen Simpang Renggam)

Siri satu membincangkan perkara yang menjurus kepada usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan bagi mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan. Selain itu panel juga mengupas beberapa isu semasa iaitu Bahasa Kebangsaan menjadi pilihan kedua bagi rakyat Malaysia berbanding Bahasa Inggeris dan juga isu penggunaan Bahasa Inggeris ketika mesyuarat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa menyebut “dengan izin”. YB Senator Ras Adiba dan YB Dr. Maszlee juga turut menbincangkan mengenai persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan dan kesediaan Bahasa Kebangsaan untuk mengadaptasi dengan pantas terhadap revolusi teknologi yang sedang membangun.

****************************

 

Bahasa Dijunjung , Budi Disanjung Siri 2 :
Semarak Semangat Keluarga Malaysia Melalui Bahasa Kebangsaan
Panel : YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker (Timbalan Menteri Belia Dan Sukan)

Perbincangan bagi siri dua lebih menjurus kepada aspek nilai dan ciri-ciri Bahasa Kebangsaan yang dapat membantu dan merealisasikan konsep pembentukan Keluarga Malaysia. Antara isu lain yang menjadi topik perbincangan adalah program-program yang boleh diwujudkan oleh kerajaan bagi penguasaan Bahasa Kebangsaan. Selain itu, antara topik lain yang turut dibicangkan adalah tahap penguasaan pelajar-pelajar sekolah Vernakular, halangan pelajar-pelajar sekolah vernakular untuk menguasai Bahasa Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

****************************

Bahasa Dijunjung, Budi Disanjung Siri 3:
Rukun Negara, Identiti Bangsa
Panel : Dato Dr. Madeline Berma (Pesuruhjaya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia)

Siri terakhir bagi bual bicara bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen 2021 lebih memfokuskan kepada kepentingan Rukun Negara terhadap pembentukan identiti negara bangsa. Selain itu, isu-isu seperti keterangkuman Rukun Negara di dalam Perlembagaan Persekutuan, penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia dan Rukun Negara sebagai alat perpaduan kaum juga telah menjadi topik perbicangan dalam siri ini.

 

Scroll Up