5 Julai 2023 – Seramai 4 orang Pegawai Penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP) telah menamatkan latihan jangka pendek ‘Programme on Parliamentary Diplomacy, 5th Intake’ yang dianjurkan bersama oleh Parliamentary Center of Asia (PCAsia) dan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) daripada 2 Mei hingga 5 Julai 2023.
Pegawai yang terlibat adalah Encik Augustine Leonard Anak Jen, YM Tengku Muhammad Aiezuddin Shah, Puan Nuraini Ruslan dan Encik Mohd Zulhelmi Syafuddin Tan. Latihan diadakan secara hibrid, iaitu secara atas talian bagi peserta daripada Indonesia, Filipina, Laos, dan juga Malaysia. Hanya peserta daripada Kemboja, yang juga merupakan ibupejabat PCAsia hadir secara fizikal.
PCAsia adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama dan pemahaman antara negara-negara di Asia melalui latihan dan pendidikan berkaitan dengan parlimen, dengan fokus utama adalah diplomasi parlimen.
Dalam latihan ini, peserta didedahkan kepada konsep-konsep asas diplomasi parlimen, teknik-teknik komunikasi, dan strategi-strategi untuk membina hubungan yang baik dengan parlimen di negara lain. Selain itu, peserta juga belajar tentang peranan parlimen dalam menangani isu-isu global seperti perubahan iklim, keselamatan, dan pembangunan lestari.