26 JULAI 2022 – Parlimen Malaysia telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Dinamika Parlimen Malaysia Mendepani COVID-19 di Bilik Bankuet, Blok Utama, Parlimen Malaysia.

Sesi pelancaran buku ini telah dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia (KPPM), YBhg. Nor Yahati Awang dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat, YB Tan Sri Azhar Azizan Harun.

 

Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya YB Datuk Seri Nancy Syukri; YBhg. Datuk Nor Yahati Binti Awang, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia; dan YBrs Tuan Muhd Sujairi bin Abdullah, Setiausaha Dewan Negara selain Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan.

 

 

Penerbitan buku Dinamika Parlimen Malaysia Mendepani COVID-19 bertujuan untuk mendokumentasikan aspek pengurusan langkah-langkah kawalan pencegahan penularan COVID-19 di Parlimen Malaysia dan seterusnya merekodkan pengalaman Parlimen Malaysia mendepani cabaran COVID-19 terhadap perjalanan persidangan Parlimen. Parlimen Malaysia sebagai institusi perundangan tertinggi negara tetap berperanan walaupun dalam situasi negara berhadapan ancaman pandemik ini. Langkah kawalan dan pendekatan yang dinamik yang dilaksanakan oleh pengurusan Parlimen Malaysia adalah penting bagi memastikan Parlimen dapat terus bersidang dengan selamat serta melaksanakan fungsinya sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Buku ini yang merangkumi pelbagai aspek pengurusan COVID-19 di Parlimen seperti kaedah persidangan mengikut norma baharu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, penglibatan Ahli Parlimen di persidangan antarabangsa, langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di Kompleks Parlimen Malaysia, berupaya menjadi rujukan dan panduan kepada semua pihak dalam mengurus dan menyelaras badan perundangan di setiap negeri.

Turut hadir sama pada hari pelancaran ini adalah YB Ahli Dewan Rakyat, YB Senator serta para Setiausaha Bahagian Parlimen Malaysia bagi memeriahkan majlis .

Parlimen Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang pengurusan langkah-langkah kawalan pencegahan penularan COVID-19 di Parlimen Malaysia serta dalam membantu pendokumentasian ini khususnya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Scroll Up