24 MAC 2022, Khamis – Parlimen Malaysia telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Parlimen Malaysia: Tonggak Demokrasi dan Legislatif Negara bertempat di Parlimen Malaysia. Majlis Pelancaran ini telah disempurnakan bersama oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohd Rashid bin Hasnon, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Parlimen dan Ketua-ketua Jabatan.
Buku Parlimen Malaysia: Tonggak Demokrasi dan Legislatif Negara adalah buku yang julung kali diterbitkan hasil penyelidikan dan penulisan sepenuhnya oleh pegawai-pegawai penyelidik di Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen Malaysia.
Pelancaran buku ini adalah signifikan kepada Parlimen Malaysia dan tepat pada masanya sebagai wacana dalam disiplin kenegaraan dan perundangan bagi mengembalikan wibawa institusi Parlimen sebagai tonggak legislatif dan demokrasi negara. Penerbitan buku dapat meningkatkan akses pelbagai lapisan masyarakat terhadap hal ehwal Parlimen serta meningkatkan imej Parlimen Malaysia sebagai institusi perundangan yang bebas, berwibawa dan bertaraf dunia.
Buku ini mendokumenkan pelbagai aspek berkaitan Parlimen dalam bahasa yang mudah difahami dan sesuai dijadikan bahan rujukan oleh setiap lapisan masyarakat serta seterusnya mampu menarik minat umum untuk memahami dan menghayati kepentingan institusi Parlimen dalam pembangunan sesebuah negara.
Buku ini juga mendokumenkan kepentingan Parlimen sebagai badan legislatif negara dalam menjalankan fungsinya sebagai agen semak dan imbang kepada badan eksekutif.
Parlimen Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penulisan dan penerbitan buku ini.