29 Ogos, 2023 – Program ini merupakan jalinan kerjasama strategik sulung antara Parlimen Malaysia yang diterajui oleh Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selaras dengan objektif untuk mempertingkat kefahaman rakyat terhadap fungsi dan peranan Parlimen Malaysia sebagai institusi perundangan tertinggi negara.
Program yang bertemakan “Menyemai Kesejahteraan Menyubur Perpaduan” ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul serta YBhg. Datuk Haji Muhamad Zamani bin Mohd Ali, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor, UPSI.
Bersesuaian dengan tema, program ini dilaksanakan menerusi sesi dialog, sumbang saran dan wacana meja bulat yang menjurus kepada empat kluster utama yang berikut:
⦁ Kesejahteraan, Inovasi dan Pertumbuhan Ekonomi
⦁ Pendidikan, Nilai Budaya dan Pembangunan Insan
⦁ Keselamatan, Perpaduan Nasional dan Pengangkutan Institusi
⦁ Perubahan Iklim dan Kelestarian Ekosistem Persekitaran.
Bagi memastikan objektif meja bulat ini tercapai, ahli panel yang berpengalaman dan berkepakaran dalam pelbagai bidang telah diundang untuk berkongsi pengetahuan mereka berkaitan isu ekonomi dan kesejahteraan masyarakat pada masa ini. Selain Ahli Parlimen dan akademia, tenaga pakar dari industri dan agensi seperti Malakoff Corporation Berhad, Green Technology and Climate Change Corporation, TF Value Mart dan Institut Keselamatan Awam Malaysia merupakan antara barisan ahli panel yang diundang khas untuk berkongsi pengalaman dan intelektual mereka.
Sidang pagi telah membincangkan dua topik yang berkait dengan realiti kehidupan rakyat pada masa ini, iaitu Sesi 1: Kesejahteraan, Inovasi dan Pertumbuhan Ekonomi dengan barisan ahli panel seperti YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, YBhg. Dato’ Zuraidah Atan, YBrs. Tuan Ho Mun Hao dan YBrs. Prof. Dr. Ramlee Ismail sebagai moderator. Pada masa yang sama, Sesi 2: Pendidikan, Nilai Budaya dan Pembangunan Insan turut berlangsung, dengan pengisian oleh ahli panel seperti YB Senator Tuan Aknan Ehtook, YBhg. Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, YBrs. Prof Dr. Abdul Rahim Razali dan YBrs. Dr. Mohd Faridh Hafez Mohd Osman sebagai moderator.
Program diteruskan dengan dua sesi pada sebelah petang iaitu, Sesi 3: Keselamatan, Perpaduan Nasional dan Pengangkutan Institusi yang diserikan dengan barisan ahli panel seperti YB Senator Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, YBhg. Prof. Dato Dr. Sivamurugan Pandian, YBrs. Prof. Dr. Yarina Ahmad, YBrs. Tuan Lokman Effendi Ramli, dan YBrs. Dr. Nizamuddin Alias sebagai moderator. Sesi 4: Perubahan Iklim dan Kelestarian Ekosistem Persekitaran pula dibarisi ahli panel iaitu YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim b. Tuan Man, YBrs. Tuan Ts. Shamsul Bahar b. Mohd Nor, YBrs. Tuan Mohamed Azmil Ismail dan YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim sebagai moderator.
.
Selain sesi dialog, program sehari ini turut diisi dengan pameran legislatif oleh Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, manakala pihak UPSI pula menampilkan pempamer yang terdiri dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak, Institut Peradaban Melayu, Fakulti Teknologi dan Vokasional dan Resqteam.
Sebagai mengakhiri program, sesi rumusan dapatan dibuat terhadap setiap topik yang dibentangkan dalam setiap sesi untuk membentuk satu resolusi yang akan dibawa ke Kongres Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia MADANI oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris kelak. Dapat disimpulkan bahawa program ini telah mencapai sasarannya untuk menghimpunkan Ahli Parlimen, ahli akademik, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi membincangkan fenomena sosiobudaya di Malaysia secara intensif dan inklusif.