10 – 13 Jun 2024 – Bandar Seri Begawan, Brunei. Mesyuarat Kaukus ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-15 telah diadakan pada 10 hingga 13 Jun 2024 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Mesyuarat Ke-15 yang bertemakan “Strengthening ASEAN Cyber Resilience through Parliamentary Cooperation: Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy” bertujuan menjadi mekanisme untuk memperkembangkan dan mengharmonikan inisiatif perundangan bersama di rantau ASEAN. Kaukus AIPA merupakan salah satu jawatankuasa ad-hoc AIPA yang juga berfungsi sebagai platform interaksi di kalangan ahli-ahli parlimen AIPA dalam memantau pelaksanaan resolusi-resolusi yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung AIPA yang lalu.
Sembilan (9) parlimen anggota AIPA telah menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Haji Adanan Yusof, Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei. Parlimen Malaysia diketuai oleh YB Dato’ Dr Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Turut hadir bersama ialah YB Azli bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam bersama dua orang pegawai penyelidik parlimen iaitu Puan Amy Tam Lay Choon dan Puan Mas Liza bin Maslan. Mesyuarat Ke-15 juga dihadiri oleh delegasi Sekretariat AIPA, Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN, Pesuruhjaya Interim Keselamatan Siber Brunei, dan wakil-wakil Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur atau Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA). Sekretariat AIPA diketuai oleh Setiausaha Agung AIPA, Puan Yang Terutama Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman.
Sebagai satu amalan AIPA, pada pagi sebelum pembukaan mesyuarat, Ketua Delegasi daripada sembilan Parlimen Anggota AIPA bersama dengan Setiausaha Agung AIPA dan Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib iaitu Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei. Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman kemudiannya telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Ke-15 dengan ucapan mengalu-alukan kedatangan delegasi dan menekankan kepentingan untuk menangani cabaran bersama. Beliau menggesa usaha kolaboratif untuk memerangi ancaman siber dan meningkatkan daya tahan siber.
Mesyuarat melantik YB Pehin Dato Haji Adanan Yusof selaku Pengerusi Mesyuarat Kaukus AIPA Ke-15 dan YB Nim Chantara dari Dewan Perwakilan Rakyat Kemboja sebagai Timbalan Pengerusi Mesyuarat.
Sesi Plenari Pertama melibatkan setiap Parlimen Anggota AIPA membentangkan status pelaksanaan resolusi-resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpuan Agung AIPA Ke-44 pada 2023. YB Dato’ Dr Ramli bin Dato’ Mohd Nor telah membentangkan status pelaksanaan resolusi-resolusi bagi Malaysia. Perhimpunan Agung AIPA Ke-44 telah menerima pakai 16 resolusi yang telah dibahas di lima jawatankuasa iaitu Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA), Young Parliamentarian of AIPA, Political Matters, Economic Matters dan Social Matters. YB Dato’ Ramli mengakhiri pembentangan beliau dengan memberikan sokongan padu kepada AIPA Sekretariat untuk mengadakan lebih banyak inisiatif kolaborasi dalam menangani cabaran di rantau ASEAN.
Sesi Plenari Pertama berakhir dengan pembentangan aktiviti Sekretariat AIPA oleh Setiausaha Agung AIPA.
Sesi Plenari Kedua bermula dengan pembentangan topik tema oleh Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN, Tuan Yang Terutama Satvinder Singh, diikuti oleh Pesuruhjaya Interim Keselamatan Siber Brunei En. Shamsul Bahri Haji Kamis dan Pengarah Urusan ERIA iaitu Dr. Aladdin D.Rillo.
Sesi ini disusuli dengan pembentangan laporan negara oleh Parlimen Anggota AIPA mengenai topik tema. YB Azli bin Yusof telah membentangkan laporan negara Malaysia. YB. Azli menekankan kepentingan mengukuhkan daya tahan siber ASEAN melalui kerjasama parlimen. Beliau menekankan kepentingan ekonomi digital untuk inovasi dan pertumbuhan di seluruh rantau ini dan menggesa tindakan kolektif di kalangan anggota ASEAN untuk menangani ancaman siber.
Pleno Ketiga membincangkan laporan Forum Tripartite yang diadakan sehari sebelum Mesyuarat Kaukus AIPA Ke-15 dan draf laporan Mesyuarat Kaukus AIPA Ke-15.
Majlis penutup meliputi pengumuman dan penerimaan Dewan Perwakilan Rakyat Kemboja yang diketuai oleh YB Nim Chantara untuk menjadi Tuan Rumah bagi Mesyuarat Kaukus AIPA Ke-16 dan menandatangani laporan Mesyuarat Kaukus AIPA Ke-15 yang akan dibentangkan di Perhimpunan Agung AIPA Ke-45 akan datang.
Delegasi telah mengunjungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari terakhir Mesyuarat Ke-15. Balai ini adalah sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga seperti rambut berkat Nabi Muhammad dan replika objek-objek bersejarah lainnya. Balai ini berperanan dalam pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan, dan penyebaran maklumat serta ilmu-ilmu Islam.