Persidangan Agung AIPA (ASEAN Inter-Parliamentary Parlimen Assembly) Ke-44 yang bertemakan “Parlimen Responsif untuk ASEAN yang Stabil dan Makmur” (“Responsive Parliament for a Stable and Prosperous ASEAN”) telah berlangsung dari 5 hingga 11 Ogos 2023 di Jakarta dengan Indonesia selaku tuan rumah. Delegasi Malaysia diketuai oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Tan Sri Dato’ Johari Abdul yang turut disertai oleh kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Dato’ Ramli Mohd Nor dan YB Puan Alice Lau Kiong Yeng, termasuk sebelas orang Ahli Parlimen iaitu YB Tuan Wong Chen (Subang), YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), YB Dato’ Sri Doris Sophia Brodi (Sri Aman), YB Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), YB Puan Isnairaissah Munirah Majilis (Kota Belud), YB Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), YB Tuan Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis), YB Tuan Yuneswaran Ramaraj (Segamat), YB Tuan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) and YB Tuan Riduan Rubin (Tenom).
Seramai tiga orang Pegawai Penyelidik Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP), Parlimen Malaysia turut menyertai persidangan tersebut untuk membantu ahli-ahli Parlimen dalam mengetengahkan cadangan enam resolusi dari Malaysia yang menyentuh fungsi dan peranan parlimen dalam pelbagai isu kepentingan hubungan serantau, iaitu dalam mendorong hubungan ekonomi serantau, membasmi jenayah dan rasuah, memacu peralihan tenaga dan membangunkan ekonomi hijau di rantau ASEAN, serta menangani cabaran pekerjaan yang dihadapi oleh belia yang terlantar, peranan ahli parlimen muda dalam tadbir urus, ancaman keganasan, ekstremisme dan radikalisme, dan menangani isu keselamatan air, tenaga dan makanan di rantau ASEAN. Dalam hal ini, setelah sesi perbincangan menyeluruh dengan negara-negara anggota AIPA lain, kesemua enam resolusi tersebut telah diluluskan dan disahkan.
Agenda persidangan AIPA ini turut juga melibatkan mesyuarat lain seperti Jawatankuasa Hal Politik (Committee on Political Matters), mesyuarat Young Parliamentarians of AIPA, Women Parliamentarians of AIPA dan juga sesi dialog dengan negara pemerhati seperti Republik Rakyat China, Amerika Syarikat, Australia dan Maghribi.
Mesyuarat pemurnian Joint Communique diwakili oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Dato’ Ramli Mohd Nor dan YB Tuan Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis).
Upacara penutupan Persidangan Agung AIPA kali ini turut menyaksikan penyerahan rasmi jawatan presiden AIPA untuk tahun 2024 dari Indonesia ke Laos, PDR selaku tuan rumah seterusnya. Malaysia dijangka akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Agung AIPA ke-46 pada tahun 2025.