7 Jun 2024 – Parlimen Malaysia telah dijemput oleh Dewan Undangan Negeri Perak untuk menghadiri Program Pemantapan Ahli-ahli Dewan Negeri Perak Tahun 2024 di Hotel Shangri La, Golden Sands, di Pulau Pinang pada 6 hingga 7 Jun 2024. Program tersebut merupakan program tahunan yang diterajui oleh Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak bertujuan untuk memberi pendedahan baharu kepada badan legislatif negeri, selain memantapkan peranan dan mengeratkan kerjasama di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri. Seramai 70 orang peserta terlibat dalam program ini termasuk YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerajaan dan para pegawai.

Parlimen Malaysia telah diberikan peluang untuk memberikan ceramah bagi slot “Tatacara Penyediaan Perbahasan Persidangan Dewan Negeri Perak” kepada para peserta. Slot ceramah oleh Parlimen Malaysia tersebut telah disempurnakan oleh Puan Wan Noorzaleha binti Wan Hassan, Pegawai Penyelidik pada hari kedua iaitu 7 Jun 2024, jam 10:30 pagi. Antara pengisian slot tersebut adalah berkenaan pengenalan Parlimen dan aspek penyelidikan Parlimen, peranan dan fungsi, produk serta tatacara penyelidikan di Parlimen Malaysia.

Dalam ucapan penutupnya, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohamad Zahir Abdul Khalid telah menyatakan penghargaan kepada Parlimen Malaysia atas perkongsian maklumat bagi program ini. Setelah mengambil kira akan keperluan dan kepentingan aspek penyelidikan kepada Ahli Dewan Negeri Perak untuk memperkasakan lagi Dewan Negeri Perak, telah dipersetujui agar satu kertas kerja disediakan untuk mewujudkan jawatan penyelidik setelah dicadangkan oleh Ahlinya.

Scroll Up