27 Oktober 2023 – Program Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun merupakan suatu program yang memfokuskan kempen cintai bahasa Melayu yang dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa di Malaysia agar dapat menyemarakkan dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan.
Program Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” telah dilancarkan oleh YBhg. Datuk Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia (KPPM) pada 27 Oktober 2023 semasa Majlis Amanat YBhg. Datuk KPPM dan perhimpunan dwibulanan Parlimen Malaysia. Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program sambutan yang akan berlangsung dari 16 Oktober hingga 10 November 2023 ini. Antara aktiviti yang telah berjaya diadakan dengan penyertaan yang menggalakkan dari warga kerja Parlimen Malaysia adalah Peraduan Teka Silang Kata dan Kuiz Cakna Bahasa.
Semasa majlis ini juga, YBhg. Datuk KPPM telah menyampaikan hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan kepada para pemenang tempat ketiga hingga pertama bagi kedua-dua aktiviti. Tempat pertama bagi Peraduan Teka Silang Kata telah dimenangi oleh Cik Noor Suhaina binti Mohd Yusof dari Seksyen Jawatankuasa Pilihan Khas manakala tempat pertama bagi Kuiz Cakna Bahasa pula ialah Puan Farhan binti Mat Arisah juga dari Seksyen Jawatankuasa Pilihan Khas.
Majlis juga turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Encik Lokman Hakimi bin Rosli dari Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan dengan sajak bertajuk “Bahasa Jiwa Bangsa” dan Puan Nuraishah binti Abdullah dari Bahagian Pengurusan dengan sajak bertajuk “Pertama dan Terakhir.
Bagi menutup program sambutan ini, aktiviti mendeklamasi sajak akan diadakan pada 9 November 2023 dengan penyertaan terbuka kepada semua warga kerja Parlimen Malaysia, pegawai dari Kementerian/Jabatan serta Ahli Parlimen sendiri.