10 Mac 2023 – YB Dato’ Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Tahun 2023 Peringkat Parlimen Malaysia bertemakan ‘KASIH Wanita dan Legislatif’ bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia. Sambutan ini adalah sebagai platform untuk Parlimen Malaysia merakamkan penghargaan kepada sumbangan dan jasa kaum wanita terutamanya dalam bidang legislatif.
Majlis sambutan ini telah dihadiri hampir 600 orang peserta terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen, pegawai dan kakitangan agensi-agensi Kerajaan serta swasta, wakil pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), dan pensyarah serta mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT). Sambutan pada tahun ini juga dianjurkan pada skala yang lebih besar berbanding tahun lalu dan dimeriahkan dengan penyertaan beberapa reruai pameran daripada pelbagai agensi Kerajaan dan PUSPANITA Parlimen Malaysia.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, diikuti dengan ucapan perutusan YB Puan Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam ucapan perasmian, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menekankan keperluan untuk semua wanita bukan hanya menjadi terpelajar (educated) tetapi juga terdidik (learned). Langkah ke hadapan (wayforward) adalah untuk mendorong peratus perwakilan wanita yang lebih besar di Parlimen Malaysia sebagai pemain utama dalam memacu pariti gender dan mencapai penyertaan penuh, berkesan dan sama rata wanita di Parlimen dan semua institusi Negeri, termasuk peranan kepimpinan.
Kemuncak sambutan ini adalah program Bicarawara ‘KASIH Wanita dan Legislatif’ yang disertai oleh YB Senator Puan Saraswathy Kandasamy, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Ledang, YB Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid dengan Tuan Ally Isknadr Mohd Mardzi selaku moderator. Bicarawara ini juga turut ditonton secara langsung oleh lebih 2,000 orang di saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=6Cjzs9u_UEU&t=7568s.
Pelbagai input turut diperolehi ketika sesi soal-jawab. Antaranya adalah kesukaran yang dihadapi oleh kaum wanita yang berhadapan dengan prosedur perceraian yang rumit. Kesemua isu yang dibangkitkan ini akan dibawa ke platform yang bersesuaian di Parlimen Malaysia.