18 Mei 2023 – Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP) telah menerima jemputan daripada Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) untuk  memberikan  taklimat sempena penganjuran Seminar Demokrasi Berparlimen dan Prosedur Parlimen 2023 yang  bertempat di Bilik Taklimat, Blok Utama, Parlimen Malaysia.

 

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai Ahli Parlimen berhubung tatacara dan amalan di Parlimen disamping menyediakan platform kepada pegawai-pegawai Ahli Parlimen untuk memahami kemudahan penyelidikan yang disediakan untuk Ahli Parlimen serta menyediakan ruang untuk membina jaringan di kalangan pegawai-pegawai Ahli Parlimen. Seramai 130 orang pegawai ahli Parlimen telah hadir bagi menjayakan seminar ini.

 

 

Puan Azreen Haniza Abdul Hai, Setiausaha Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan telah menyampaikan taklimat bertajuk “Penggunaan e-PRS Sebagai Kemudahan Penyelidikan Ahli Dewan” pada sesi petang.

 

Pengenalan terhadap fungsi dan peranan penyelidik di BPP dijelaskan secara terperinci bagi memberikan pendedahan kepada pegawai-pegawai Ahli Parlimen yang merupakan peserta seminar.  Skop penerangan turut merangkumi kepentingan aspek penyelidikan dalam menyokong pengoperasian Dewan Negara dan Dewan Rakyat, fungsi dan peranan BPP serta perkhidmatan dan produk BPP seperti Sistem Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen Malaysia (e-PRS) dan kemudahan Perpustakaan Parlimen bagi memberikan pemahaman terhadap kemudahan yang disediakan kepada Ahli-ahli Parlimen.

 

Pada sesi akhir taklimat tersebut, BPP turut mengalu-alukan para peserta untuk menyumbang hasil penulisan penyelidikan di Journal of the Malaysian Parlimen berkaitan amalan dan prosedur di Dewan Parlimen, isu berkaitan hal ehwal Parlimen yang melibatkan fungsi Parlimen untuk perwakilan, pengawasan, penggubalan undang-undang dan pengawasan kewangan termasuk isu semasa dari perspektif Parlimen.

Scroll Up