26 Jun 2024 – Satu sesi dialog di antara Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama Bahagian Penyelidikan Parlimen Malaysia telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR). Pertemuan berlangsung pada pukul 11:00 pagi telah dipengerusikan oleh En. Abdulhadi Khalid, Pegawai Tugas-Tugas Khas II YPDR.

Objektif utama sesi dialog ini adalah untuk memupuk ruang perbincangan terbuka antara pihak SAM dan Bahagian Penyelidikan Parlimen Malaysia berkenaan hak-hak berkaitan perlindungan hak alam sekitar dan hak komuniti agar dapat menggalakkan perbincangan yang lebih luas dan mendalam tentang isu-isu tersebut di Parlimen Malaysia.

Rombongan SAM yang hadir diketuai oleh Pn. Shamila Ariffin (Pegawai Penyelidik dan Media Kanan), beberapa orang wakil pertubuhan komuniti Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) dan beberapa orang wakil orang asli dari Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).

Bahagian Penyelidikan pula diwakili oleh Pn. Siti Mastura Oyop (Ketua Sekyen Sains, Teknologi dan Pembangunan), Pn. Rozana Abdullah (Ketua Seksyen Sosial dan Pembangunan Sumber Manusia) dan Pn.Khairil liza Mohd Salleh serta Muhammad Anas Khairul Anuar (Pegawai Penyelidik Seksyen Ekonomi dan Perdagangan). Manakala, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan diwakili oleh YBrs. Dr. Siti ‘Ai’syah Binti Che Osmi dan beberapa orang pegawai penyelidik JKPK.

Kesemua wakil dari SAM, JARING dan JKOASM yang hadir merupakan penyumbang maklumat dan data bagi tujuan pengisian kandungan dokumen penerangan yang mengandungi cadangan atau syor berkenaan reformasi dasar, undang-undang dan/atau tadbir urus berkenaan isu-isu perlindungan alam sekitar dan hak komuniti.

 

Ketika sesi dialog berlangsung, beberapa isu khusus telah diketengahkan iaitu berkenaan hutan tadahan air; kawasan sensitif alam sekitar; perladangan monokultur; amalan-amalan perikanan yang tidak lestari; reklamasi pantai; kawasan perlindungan marin; pengurusan kawasan perlindungan komuniti; hak petani dan perlindungan benih; serta perlindungan hak tanah adat orang asli.
Hasil penyampaian pembentangan telah memberikan penjelasan terhadap situasi yang dihadapi oleh penyelidik SAM, pihak JARING dan JKOASM. Oleh itu, dokumen SAM dilihat mampu dijadikan panduan tambahan kepada penulisan artikel dan nota perbahasan oleh para penyelidik Parlimen Malaysia.

Scroll Up