Kuala Lumpur, 8 November 2024 (Jumaat) – Parlimen Malaysia telah menganjurkan Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga yang bertemakan “Parlimen: Tunjang Semak Imbang Negara” dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul. Simposium ini dianjurkan dengan matlamat memberi kefahaman mengenai fungsi dan peranan semak dan imbang Parlimen kepada masyarakat. Selain itu, simposium ini dirangka bagi menjadikan Parlimen Malaysia sebagai platform bual bicara, sumbang saran dan wacana yang membincangkan secara intensif dan inklusif mengenai isu perundangan dan tatakelola Parlimen Malaysia. Pada masa yang sama, simposium ini turut menerapkan kepentingan dalam menghayati nilaikeluhuran perlembagaan’ yang merupakan prinsip ketiga dalam Rukun Negara.

Melalui penganjuran simposium ini, Ahli Parlimen dapat saling bertukar pandangan dengan ahli akademik dan pemimpin masyarakat untuk memperhalusi isu-isu berkaitan tatakelola Parlimen dan proses penggubalan perundangan negara. Bersesuaian dengan itu, sesi pagi memberi fokus kepada isu yang membabitkan tatakelola Parlimen, terutamanya peranan semak dan imbang Parlimen terhadap badan eksekutif. Tatakelola dalam kuasa dan sempadan legislatif yang cekap dan berkesan adalah penting untuk memastikan sistem pentadbiran oleh kerajaan dan cabang kuasa di Malaysia berfungsi dengan berkesan, adil dan mengikut prinsip keadilan dan kebertanggungjawaban.

Sebagai inisiatif untuk memperkasakan kefahaman golongan belia berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mempertingkat jati diri anak bangsa kepada tanah air, sesi petang secara khususnya membincangkan peranan golongan belia dalam menentukan hala tuju negara. Belia memainkan peranan yang amat penting dalam sistem demokrasi negara kerana mereka bukan sahaja merupakan pelapis generasi dan kepimpinan masa hadapan, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara. Dalam sistem demokrasi, belia perlu berperanan sebagai warganegara yang aktif, sentiasa bersedia untuk meneroka prospek masa hadapan, serta berdaya usaha dalam mencipta perubahan yang akan mempengaruhi pembangunan dan hala tuju negara.

Bagi mencapai objektif simposium ini, pelbagai latar belakang peserta telah diundang, yang melibatkan Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta pelajar dari kolej dan institusi pengajian tinggi awam. Simposium ini dibarisi oleh Ahli panel dan moderator yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin, YB Tuan Howard Lee Chuan How, dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian. Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga ini diharap dapat memberikan sumbangan bermakna kepada proses semak imbang dalam badan legislatif serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Scroll Up