23 Mac 2023 – Parlimen Malaysia telah mengadakan Taklimat Urusan Dewan Negara bertempat di Bilik Jawatankuasa 1, Blok Utama. Taklimat ini telah dipengerusikan oleh Setiausaha Dewan Negara, Tuan Muhd Sujairi Abdullah yang bertujuan memberi penerangan berkaitan hal ehwal urusan Dewan Negara kepada Senator yang baharu dilantik bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara. Seramai 15 Senator baharu telah menghadiri taklimat yang disampaikan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen (BHEAP), Bahagian Pengurusan Dewan Negara (BPDN) dan Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan (BPP).
Taklimat berkaitan fungsi, peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BPP dalam membantu Ahli Dewan Negara telah diberikan oleh Puan Azreen Haniza Abdul Hai, Setiausaha Bahagian. . Ahli Yang Berhormat Senator juga telah diberikan penerangan mengenai kaedah permohonan penyelidikan kepada BPP yang akan ditugaskan kepada pegawai penyelidik mengikut portfolio masing-masing. Portfolio tersebut diklasifikasikan mengikut empat seksyen, iaitu Seksyen Ekonomi dan Perdagangan; Seksyen Sains, Teknologi dan Pembangunan; Seksyen Sosial dan Pembangunan Sumber Manusia; dan Seksyen Parlimen, Antarabangsa dan Keselamatan.
Semasa sesi taklimat ini, maklumat para Yang Berhormat Senator telah didaftarkan ke dalam Sistem Elektronik Penyelidikan Parlimen (e-PRS) dan sebagai ahli Perpustakaan Parlimen Malaysia. Taklimat yang berlangsung selama dua jam ini diakhiri dengan sesi soalan jawab antara Ahli Yang Berhormat Senator dengan wakil Bahagian.