Hanoi, 19 September 2023 – Inter-parliamentary Union (IPU) telah menganjurkan The 9th Global Conference of Young Parliamentarians daripada 14 hingga 17 September 2023 bertempat di Hanoi, Viet Nam. Parlimen Malaysia telah diwakili oleh delegasi seramai dua orang iaitu YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi dan YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, Ahli Parlimen Bandar Kuching. Turut mengiringi adalah Encik Mohd Zulhelmi bin Syafuddin Tan, Pegawai Penyelidik Seksyen Sosial dan Pembangunan Sumber Manusia, Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen Malaysia.
Persidangan berlangsung pada 15 dan 16 September 2023 di National Convention Center Hanoi (NCCH). Delegasi mengambil peluang mengunjungi pameran One Community One Product (OCOP) di perkarangan NCCH yang mirip dengan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Malaysia.
YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah mengambil bahagian dalam Session 1: Digital Transformation dengan berkongsikan pengalaman Malaysia dalam pembangunan infrastruktur serta kandungan digital termasuk komitmen Malaysia meningkatkan keterhubungan digital antara bandar dengan kawasan luar bandar. Manakala YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen pula mengambil bahagian dalam Session 3: Promoting Respect for Cultural Diversity in Support of Sustainable Development dengan berkongsikan pendekatan yang diambil oleh Malaysia melalui Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Digital dengan melancarkan ‘Perpaduan Digital’ bagi memupuk keharmonian dan kesatuan kaum melalui platform digital.
Selain acara-acara persidangan, delegasi Malaysia turut menerima dan menghadiri undangan berikut:
i. Mesyuarat dua hala antara Malaysia-Belarus;
ii. Young Parliamentarian of AIPA Dinner on Occasion of the 46th AIPA Anniversary Celebration;
iii. Temubual bersama tiga buah agensi berita iaitu Vietnam News, Times Magazine Vietnam, dan National Assembly of Vietnam TV Services;
iv. Lawatan ke projek perumahan bersepadu oleh pemaju Malaysia di Hanoi, termasuk sekolah antarabangsa yang dibina dan dikendalikan oleh ParkCity Hanoi, yang merupakan anak syarikat pemaju Malaysia;
v. Seminar bertajuk Enhancing Digital Capacity for the Youth di National Assembly of Viet Nam; dan
vi. Lawatan ke Ha Long Bay dengan diraikan oleh HE Hoang Trung Kien, Leader of Quang Ninh Province.
Delegasi Malaysia turut menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dan Sambutan Hari Malaysia ke-60 yang dianjurkan oleh pihak kedutaan pada 13 September 2023.
Terakhir, delegasi Malaysia berkesempatan untuk bertemu Presiden IPU, Hon. Duarte Pacheco sebelum bergerak ke JW Marriot Hanoi Hotel bagi menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh President of National Assembly of Viet Nam, Hon. Vuong Dinh Hue.